Keistimewaan Idul Adha

Hari Raya Aidiladha mempunyai banyak keistimewaan yang harus diperbesarkan oleh umat Islam, bagi mengingati semula serta mengambil iktibar pengorbanan tiga manusia agung iaitu Nabi Ibrahim; isterinya, Hajar dan Nabi Ismail yang wajar dicontohi.

Nabi Ibrahim berjiwa kental dan mempunyai cita-cita unggul serta ketakwaan yang tinggi kepada Allah, Hajar pula solehah yang bertakwa kepada Allah sekali gus sebagai ibu penyayang yang mempunyai kesabaran luar biasa dan Nabi Ismail, sebagai anak yang solih berjiwa takwa, tawakal dan sanggup disembelih bapanya demi menjunjung titah perintah Allah.

Keistimewaan inilah yang harus diperbesarkan dan dijadikan teladan segenap lapisan masyarakat terutama ibu bapa, pemimpin dan juga remaja. Semangat dan ketabahan ini haruslah dijadikan landasan dalam kehidupan bagi membina sahsiah diri, kekuatan mental dan fizikal serta kesabaran dalam menghadapi ujian dan dugaan Allah.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian dari syiar (lambang) Allah; maka sesiapa menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) antara kedua-duanya. Dan sesiapa suka rela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 158)

Ibrahim Al-Sari berkata, Safa bermaksud batu keras dan kental. Oleh itu, sebatang pohon tidak tumbuh di atasnya manakala Marwah pula ialah batu lembut. Kedua-dua tempat itu dijadikan syiar Allah untuk dilaksanakan salah satu daripada rukun haji iaitu bersaie.

Syiar bermaksud tanda atau lambang ibadah kepada Allah. Oleh itu, ditakrifkan syiar sebagai setiap apa yang diperintahkan kepada hamba Allah sebagai satu ibadat kepada Allah dengannya daripada segala urusan agama seperti tawaf, saie, wukuf di padang Arafah dan melontar Jamrah di Mina. Sayid Qutub dalam kitab tafsirnya berkata, sesiapa yang berkeliling antara dua bukit, bererti dia menunaikan syiar untuk Allah.

Syeikh Sya’rawi pula menyatakan, dua bukit Safa dan Marwah mengingatkan nostalgia lama bagaimana Hajar iaitu ibu Ismail berulang alik antara kedua-duanya mencari air untuk anaknya selepas ditinggalkan Ibrahim di sisi Baitullah al-Haram.

Bagaimana fikiran seorang perempuan ketika ditinggalkan suaminya bersama anak kecil di tempat yang tidak mempunyai makanan dan sumber air?

Di sinilah lahirnya ucapan Hajar yang masyhur, iaitu kepada siapa kamu serahkan kami, adakah Allah yang perintahkan kamu berbuat demikian? Lantas jawab Nabi Ibrahim: Ya, dengan penuh yakin. Isterinya yang solihah berkata: Jika begitu, Allah SWT tidak akan mengabaikan kami.

Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Nabi Ibrahim, sangat besar dalam menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah sebagai Kota Suci umat Islam yang amat penting.
Mengenai Kota Makkah, Allah berfirman maksudnya,

“ Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim ; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam " (Ali Imran :97)

Daripada ayat ini jelaslah bahawa pembangunan Kota Suci Makkah banyak membawa kebaikan dan manfaat kepada umat Islam. Selain ia menjadi arah kiblat ke Baitullah, kota ini juga menjadi tumpuan jutaan umat Islam untuk menunaikan haji setiap tahun. Ini dijelaskan dalam ayat sebelumnya melalui firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya rumah ibadah pertama yang dibangunkan untuk manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Makah) yang mempunyai berkat dan menjadi petunjuk bagi semua manusia.” (Ali Imran: 96)

Selain itu, Hari Raya Korban wajar diperbesarkan demi mengingati betapa penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh Nabi Ibrahim, dalam usaha menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah. Baginda Nabi Ibrahim disenaraikan sebagai salah seorang Rasul yang bergelar ‘Ulul Azmi yang memiliki kesabaran dan ketabahan luar biasa, sanggup menanggung seribu satu macam kesusahan dan penderitaan serta cabaran semata-mata untuk mencari keredaan Allah.

Kemeriahan Eidil Adha akan lebih terasa apabila umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji di Mekah sama-sama menunaikan puasa sunat hari Arafah. Berpuasa pada hari-hari 10 ini merupakan perkara yang semulia bagi mendekatkan seorang Islam kepada Tuhannya (Tidak dikira hari yang ke 10, yang merupakan hari Eid, maka ia haram dengan pasti).

Dan hari yang paling banyak fadhilatnya adalah hari ke 9, iaitu hari Arafah, hari dimana jemaah Haji berwukuf dengan keadaan menghadapi kusut dan berabuk, dengan pakaian ihram yang menyerupai kain kafan orang mati, tunduk kepada Allah menjawab seruannya, lalu berdo'a kepadanya.

Para jemaah Haji mendekati Allah disana dengan memakai Ihram, berTalbiah dan berdo'a, dan mereka yang lain (selain dari jemaah haji) berada dirumah mendekati tuhannya dengan berpuasa. Nabi saw telah ditanya tentang berpuasa pada Hari Arafah, baginda bersabda : "Puasa hari Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah swt agar menghapuskan dosa setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya" - [Hadith riwayat Tirmudzi]. Ini bermakna Islam sentiasa mengawal setiap tindak tanduk umatnya di mana setiap amalan yang dikerjakan dan bertepatan dengan kehendak syarak akan diganjari pahala termasuklah juga perkara makan dan minum.

Hari Raya Korban hendaklah diperbesarkan dengan sewajarnya, dengan mengucapkan takbir. Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

Pada Aidilfitri disunatkan menjamah makanan atau juadah sebelum ke masjid tetapi untuk Hari Raya Korban kita tidak disunatkan berbuat demikian. Sebaliknya disunatkan pergi ke surau atau masjid lebih awal untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah yang menyentuh antara lain kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.

Sebaik selesai solat sunat Aidiladha, maka bersegeralah menyembelih binatang korban. Kemudian dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin dan sebahagiannya juga diberikan kepada kariah masjid sebagai hadiah. Nabi SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa dibukakan baginya pintu kebaikan (rezeki) hendaklah memanfaatkan kesempatan itu (untuk berbuat baik) sebab dia tidak mengetahui bila pintu itu akan ditutup baginya.” (Riwayat Asy Syihaab).

Membesarkan Hari Raya Korban dengan pelaksanaan ibadat korban yang dilakukan semata-mata kerana Allah pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyrik (11,12, dan 13 Zulhijjah).

Ibadat korban dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kariah masjid. Peserta yang melakukan ibadat korban melalui daging korban dapat dibahagi-bahagikan kepada golongan fakir miskin dan ahli kariah masjid. Ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam diri untuk terus membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Selain itu, ibadat ini dapat mengukuhkan pertalian dan kasih sayang di kalangan keluarga dan ahli masyarakat yang berkumpul melaksanakan ibadat korban melalui kerja menyembelih, melapah, menyiang daging dan kemudian makan bersama-sama daging korban dimasak.

Ini juga dapat melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran dengan melaksanakan perintah Allah. Ingatlah firman Allah s.w.t. bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.” (Ibrahim:7)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Amalan Zikir Harian Seminggu Isnin - Ahad

Soal Jawab Tentang Puasa (oleh Ustaz Azhar Idrus)

Tazkirah: Aidil Adha dan Pengorbanan Tiga Insan