Selasa, 28 Ogos 2012

10 Amalan dalam Budaya Kita yang Terbalik dengan Islam

Alhamdulillah.....peringatan sebeginilah yang amat penting dalam zaman kita
skrg ni.....InsyaAllah, kita akan renung2kan dan amalkan...tinggalkan yang
telah menjadi amalan terbalik kita selama ini. Terima kasih atas peringatan
ini.

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang
amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah
terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh
Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut
dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah
sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati
selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan
seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di
mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk
keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan
dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang
hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak
yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang
belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam
berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak
dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau
ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya
kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke
kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi
makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas
dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid,
pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu
perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan
nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu,
sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang
supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat
malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah
seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang
berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan
setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa
adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di
bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri
sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri
pun.

Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari
bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat
kenduri.

Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa.
Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau
anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu
hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru
tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi
kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun
menggeletar tangan.
Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak
tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang,
mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi
peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak
ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini,
rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak,
bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah.
Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan
berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan
rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima
hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita
menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut
selera kita.

Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup
kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat."
(Riwayat Bukhari)

Sabtu, 14 Julai 2012

PUASA SI MISKIN

Sekadar renungan.... .......buat peringatan buat  diriku   yang sering terlepas pandang.  Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan  buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak  kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun:  

"Mana emak? "
"Mak pergi menoreh," jawabnya.  

"Mana bapak?"  
"Bapak pergi kerja..."  

"Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi  dalam lingkungan umur 5 bulan.
"Adik ini sayalah yang jaga."
Jawab budak berkenaan.
"Awak ada berapa orang adik-beradik? "

"Sepuluh."

"Adik ni yang ke berapa?"
"Saya yang kelapan."  

"Mana abang-abang kamu pergi?"
"Tolong emak menoreh."  

"Adik puasa hari ini?"

"Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..."
 Jawabnya.
Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu.


Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?"
"Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..".  

"Bapak kerja apa?"
"Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk bukak puasa ".  

Budak itu memberi tahu, lebih baiklah bulan puasa berbanding bulan lain  kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar.
Aku berlalu dari situ dengan seribu-satu keinsafan. Kebetulan di simpang  jalan ada orang menjual daging lembu tempatan.
Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit
"Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi.
Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka.
Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar: Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah  seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu.

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah Pakcik.."  

  Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. Dia berkata

"Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat."

  Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?"
"Cuma RM3.00 sehari."
"Ayahnya bekerja macam mana"

"Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari."  

  Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah..

Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda?

Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"?
Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalau pun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita.

Selasa, 22 Mei 2012

Bukan Doa Kamu Yang Makbul Sebenarnya

Bukan Doa Kamu Yang Makbul Sebenarnya.


Saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Guru-guru saya di sekolah, semenjak sekolah rendah, sangat menerapkan doa. Jadi, saya sudah dibiasakan dengan Solat Hajat, Solat Dhuha, Qiamullail, waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika hujan dan sebagainya agar saya rajin berdoa, dan agar doa saya makbul. Jadi, bila Allah anugerahkan saya kejayaan, saya sentiasa rasa, itu sebab saya doa dengan bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah persepsi saya.
Cerita yang saya dengar itu begini:

Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.

Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.

Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.

Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.

Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:

“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”

Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.

Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.

Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.

Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkan lah segala doa abang aku”

MasyaALLAH…

Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.

Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.

Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang.

Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita.

"Aku buat beginilah yang jadi begini."

"Doa aku makbul seh!"

"Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun."

Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur.

Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.

Cerita itu sangat menyentuh hati saya.

Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan ibu bapa saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik beradik saya, sahabat-sahabat karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga.Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.

Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya.

Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita.

Semoga bermanfaat note ini.

Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya.

Semoga Allah redha dengan kita.

Khamis, 15 Mac 2012

Doa Elak Belenggu Hutang

Apa khabar? Semoga anda dapat mengamalkan doa berikut untuk mengelakkan diri dari belenggu hutang.

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari kerunsingan dan dukacita; aku berlindung dengan-Mu dari kelemahan dan kemalasan; aku berlindung dengan-Mu dari perasaan penakut dan bakhil; dan aku berlindung dengan-Mu dari belenggu hutang dan kekasaran orang."

Sabtu, 10 Mac 2012

16 Tanda-Tanda Kematian Mulia

Satu fakta yang benar, semua manusia akan mati, walau sehebat mana dia di dunia ni. Semua nak mati dalam keadaan baik. Kematian bagaimanakah yang dipanggil kematian yang baik itu?   
Bicara Agama – 16 Tanda-Tanda Kematian Mulia | Pernahkah kita meminta supaya kita dimatikan dengan penutup yang baik 'husnul khatimah'? Sebenarnya bukan kena minta sahaja tetapi kena buru dan kena cari. Kali ini kita bincangkan tanda-tanda mati husnul khatimah atau kematian yang baik ini. Antara tanda mati husnul khatimah ialah:

1.        Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga." (Hadis Riwayat Hakim)
 
2.        Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: "Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya." (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas'ud)
 
3.        Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur." (Hadis Riwayat Ahmad)
 
4.        Mati syahid di dalam medan perang.
 
5.        Mati dalam peperangan fisabilillah. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian? Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah. Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit." Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid." (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)
 
6.        Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut: Rasulullah bersabda, maksudnya: "Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim." (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)
 
7.        Mati kerana tenggelam.
 
8.        Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah. Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: "Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah." (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)
 
9.        Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.
 
10.        Mati terbakar.
 
11.        Mati kerana penyakit busung perut. Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu': "Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid." (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)
 
12.        Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC). Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid." (Hadis riwayat Thabrani)
 
13.        Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. "Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa'i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)
 
14.        Mati dalam membela agama dan jiwa. "Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid."
 
15.        Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur)."
 
16.        Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh.
 
Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah  

Isnin, 5 Mac 2012

Hidup hanya 3 Hari + 2 Nafas

"HIDUP KITA CUMA DI DALAM 3 HARI:
Semalam ~ Sudah menjadi sejarah.
Hari Ini ~ Apa yang sedang kita lakukan.
Esok ~ Hari yang belum pasti.
Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua
kita lebih baik kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.
HIDUP CUMA DALAM 2 NAFAS:
Nafas Naik.
Nafas Turun.
Hargailah Nafas yang naik kerana udara yang disedut
adalah pemberian Allah secara percuma dan
carilah keredhaan~Nya dalam menggunakannya.
Bertaubatlah dalam Nafas yang kedua kerana mungkin itu
nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama
nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.
HIDUP CUMA ADA 2 PILIHAN :
Hidup dalam keredhaan Allah.
Hidup dalam kemurkaan Allah.
HIDUP YANG ABADI CUMA ADA 2 TEMPAT :
Kekal di dalam neraka.
Kekal di dalam syurga.
Ingatlah kecelakaan neraka itu amat mengerikan
dan kita hanya diyakinkan oleh keyakinan kita kepada rukun IMAN.
Rukun Iman itu pula ada 6 dan apabila
hilang salah satu daripadanya maka hilanglah ia.
Kelazatan dan kesejahteraan syurga itu maha HEBAT.
Tidak terduga oleh fikiran kita dan untuk mendapatkannya
terjemahkan rukun ISLAM yang 5 itu
dan puncaknya adalah SOLAT ... Amat sukar untuk dipercayai
bagi yang ingin ke SYURGA tetapi tidak bersolat,
umpama seorang yang mahu menaiki kapal terbang,
tetapi tidak mempunyai boarding pass.
Dan mereka yang sengaja melalaikan solat,
umpama mengeposkan sepucuk surat tanpa melekatkan setem ...
apabila ditanya bagaimana surat itu akan sampai
pada penerimanya ... lalu dia pun berkata
setemnya akan dihantar kemudian.
Ada 2 penyelesaian dalam kes ini :
Dia mungkin didenda ... atau, suratnya masuk tong sampah.
Oleh itu, tidakkah kita semestinya bersyukur
atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita ...
Sekurang-kurangnya Allah telah memberi udara
secara percuma untuk kita berzikir mengingati~Nya
setiap detik dan ketika, hinggalah kita kembali
kepada Allah dalam keadaan jiwa yang tenang ...
lalu masuk ke dalam syurga dalam keadaan
kita redha dan Allah meredhai.
Semoga kita semua berbahagia + sejahtera senantiasa
... di dunia jua di akhirat kelak serta
di dalam rahmat Allah s.w.t.

Rabu, 29 Februari 2012

Cara Solat Sunat Taubat

Cara menyempurnakan Solat Sunat Taubat 

Seperti yang pernah disiarkan oleh blog — justkhai.com beberapa minggu lalu, kami di Oh! Islam menyiarkan'nya kembali bagi memudahkan anda membuat rujukan. InsyaAllah suatu hari nanti, semua orang Islam akan memerlukan ini.

Sumber rujukan: Solat Taubat (Panduan Penjernihan Jiwa)
Muhammad Isa Selamat
ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar." (At-Tahrim: 8.)
Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: "Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Az-Zumar: 53)

Syarat-syarat taubat : 
1.        Ikhlas ingin bertaubat 
2.        Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi 
3.        Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan 
4.        Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya 
5.        Dikerjakan sebelum ajal tiba
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.

Waktu melaksanakan taubat :
Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya
Firman Allah: "Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula." (Az-Zumar: 30)
Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.

Cara melaksanakan solat taubat :
Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;
  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: "Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta'ala." (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama' tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta'ala),
    Ertinya: "Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim."
  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,
Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.
  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,
Ertinya: "Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau." 
  • Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.
———————————————————–
*Makruh tahrim – Petikan dari "170 Solat-Solat Sunat", Abd Rahman Mukhlis, Terbitan Jasmin Enterprise, ms 8-9 ;
Fuqaha Syafi'iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut: 
1.        Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha'), hingga matahari menyingsing sepenggalah. 
2.        Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah. 
3.        Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim). 
4.        Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya. 
5.        Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa' (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.
Bagaimanapun, jika sembahyang yang dilakukan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid, walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, sembahyang Sunat Wuduk dan sembahyang Sunat Tawaf sebanyak dua rakaat.
Begitu juga sembahyang yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti sembahyang Istisqa' dan sembahyang Gerhana Matahari. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan, sebab ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.
Adapun melaksanakan sembahyang sunat ketika bilal qamat adalah makruh tanzih, kecuali ketika qamat sembahyang Jumaat. Sembahyang sunat yang dilakukan ketika bilal sudah qamat pada sembahyang Jumaat adalah haram hukumnya. 

Isnin, 27 Februari 2012

Cahaya Muka Nabi Muhammad S.A.W


Telah diriwayatkan daripada Siti Aishah bahawa ia telah berkata : "Sedang
aku menjahit baju pada waktu sahur (sebelum subuh) maka jatuhlah jarum
daripada tanganku, tiba-tiba kebetulan lampu pun padam, lalu masuklah
Rasulullah s.a.w. Ketika itu juga aku dapat mengutip jarum itu kerana
cahaya wajahnya, lalu aku berkata,

"Hai Rasulullah alangkah bercahayanya wajahmu !"

Seterusnya aku bertanya: "Siapakah yang tidak akan melihatmu pada hari
kiamat ?"

Jawab Rasulullah : "Orang yang bakhil."

Aku bertanya lagi : "Siapakah orang yang bakhil itu?"

Jawab baginda : "Orang yang ketika disebut namaku di depannya, dia tidak
mengucap selawat ke atasku."


BERDOA
Berkata Al-Barra' r.a . bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Segala doa itu
terdinding (terhalang untuk dikabulkan) daripada langit sehingga orang yang

berdoa itu mengucapkan selawat untuk Muhammad dan keluarga Muhammad."

KIJANG DAN ANAKNYA
Diriwayatkan oleh Abu Na'im di dalam kitab 'Al-Hilyah' bahawa seorang
lelaki lalu di sisi Nabi s.a.w. dengan membawa seekor kijang yang
ditangkapnya, lalu Allah Taala (Yang berkuasa menjadikan semua benda-benda
bercakap) telah menjadikan kijang itu bercakap kepada Nabi s.a.w. :

"Hai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku ada mempunyai beberapa ekor anak yang
masih menyusu, dan sekarang aku sudah ditangkap sedangkan mereka sedang
kelaparan, oleh itu haraplah perintahkan orang ini melepaskan aku supaya
aku dapat menyusukan anak-anakku itu dan sesudah itu aku akan balik ke
mari."

Bersabda Rasulullah s.a.w. " Bagaimana kalau engkau tak balik ke mari
semula ?"
Jawab kijang itu: "Kalau aku tidak balik ke mari, nanti Allah Taala akan
melaknatku sebagaimana Ia melaknatkan orang yang tidak mengucapkan selawat
bagi engkau apabila disebut nama engkau disisinya."

Lalu Nabi s.a.w. pun bersabda kepada orang itu : "Lepaskan kijang itu buat
sementara waktu dan aku jadi penjaminnya. "

Kijang itu pun dilepaskan dan kemudian ia kembali ke situ semula. Maka
turunlah malaikat Jibril a.s. dan berkata :

"Hai Muhammad, Allah Taala mengucapkan salam kepada engkau dan Ia (Allah)
berfirman: "Demi KemuliaanKu dan KehormatanKu, sesungguhnya Aku lebih
kasihkan umat Muhammad daripada kijang itu kasihkan anak-anaknya dan Aku
akan kembalikan mereka kepada engkau sebagaimana kijang itu kembali kepada
engkau." Alhamdulillah. marilah memperbanyakkan bersukur dan berselawat
kerana kita tergolong dalam umat Muhammad.

Panjangkan kisah ini kepada sahabat-sahabat dan sudara-mara. Semoga kita
sama-sama berusaha dalam menghidupkan rasa kasih sayang
terhadap Rasulullah SAW.

Hai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara
keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan,
sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (surah Al-Baqarah ayat :
208)

~salam ceria selalu

Ya ALLAH swt. Kembalikanlah aku dalam keadaan KAU redha seluruh
kehidupanku. AMIN.


       In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful. Saya ada satu epal, anda ada satu epal. Kita tukar epal, anda ada satu dan saya tetap ada satu. Jika anda ada satu ilmu dan saya ada satu ilmu, kemudian kita tukar ilmu tersebut, anda ada dua ilmu dan saya ada dua ilmu....
Islam Itu Indah….    

Rabu, 1 Februari 2012

Menjelang Peringatan Kelahiran Agung

Dari Anas ibnu Malik r.a meriwayatkan:

Maksudnya:

Postur tubuh Rasullah saw tidak terlalu tinggi dan tidak pendek,

Kulit beliau tidak terlalu putih dan tidak gelap.

Rambut beliau tidak terlalu kerinting dan tidak lurus tergerai.

Allah swt mengutus beliau, sebagai rasul,

ketika beliau memasuki usia yang keempat puluh.

Beliau tinggal di Mekah selama sepuluh tahun dan di Madinah selama sepuluh tahun.

Beliau wafat ketika dalam usianya yang keenam puluh tiga,

sementara uban di rambut dan janggut beliau tidak sampai dua puluh helai.


(Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Malik dan Ahmad)


Template by:
Free Blog Templates