Jumaat, 2 Ogos 2013

Puisi Ramadhan: Rindu Bertamu

Ya ALLAH...
Rindunya aku padanya..
Antara dua belas yang kukenal..
Dia yang paling istimewa..
Sungguh istimewa..
Tidak kunafikan..
Namun,layakkah aku menyatakan rindu padanya?..
Adakah dia rindu untuk menemuiku?..
Rindukah dia kepadaku?..

Aku selalu mensia-siakan kehadirannya..
Tidak kuhiraukan sungguh-sungguh..
Apa yang ada padanya,aku pandang sebelah mata..
Terkadang hatiku tidak tulus..

Sedangkan dia Kau kurniakan..
Dia yang Engkau tentukan..
Yang mentarbiyah aku..
Mendekatkan diriku padaMu Ya ALLAH..
Mendidikku menjauhi segalanya yang Kau murka..
Membersihkan hatiku dari noda yang silam..
Tapi aku susah benar untuk menyedari semua itu..
Berdosanya aku..

ALLAH Ya Rahim...
Ampunilah aku..
Berikanlah aku peluang kali ini..
Untukku membetulkan apa yang aku silap..
Menampal mana yang terkoyak..
Aku rindukan dia Ya ALLAH..

Sebelum mataku rapat terpejam..
Izinkan aku mengecap bahagia bersamanya...

Ramadhan...

Rabu, 31 Julai 2013

Fadhilat Ramadhan

Fadhilat Bulan Ramadhan

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. (Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi)


2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. (Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)


3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)


4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam). ( Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi)


5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)


6.Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari Kiamat. Tidak ada seseorang pun yang akan masuk melalui pintu ini kecuali mereka .Dikatakan: Mana orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka semua berdiri. Tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu ini selain mereka. Apabila mereka semua telah masuk, pintu ini akan ditutup dan tidak ada seorang pun yang akan masuk melaluinya” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum – no: 1896)


Isnin, 29 Julai 2013

Sinar Ramadhan 2013 Kembali Lagi

Sinar Ramadhan tiba lagi....


Alhamdulillah, Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Allah swt kerana kita diberikan kesempatan dan peluang untuk berada dalam bulan yang penuh Barakah, Rahmat dan Maghfirah ini.


Ramadhan adalah suatu bulan yang paling mulia dikurniakan oleh Allah untuk seluruh makhluk dibumi ini... Pintu rahmat dibuka, pahala dilipat gandakan, pintu keampunan terbuka luas, Al-quran diturunkan, dikurniakan pula Lailatul qadar dan segala perkara yang baik terkandung didalam bulan yang penuh barakah ini.


Dibulan ini, Allah memberi peluang seluas-luasnya kepada hamba-hambaNya untuk merebut setiap butir mutiara ini..


Sabda Rasulullah s.a.w : “(Allah s.w.t berfirman) : Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-KU. Puasa (yang dia kerjakan adalah) kerana-KU. Puasa adalah untuk-KU. Sedangkan, AKU memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-KU dan (sudah tentu) AKU sendiri yang akan memberi balasannya”


(Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwaththa’, Kitab al-Shiyam – no: 603)

Marilah kita sama-sama merebut peluang ini, dan semoga kita diberi kekuatan, ketaqwaan dan keimanan untuk melakukan segala amal kebaikan dibulan Ramadhan ini dengan matlamat utamanya menjadi insan yang bertaqwa dan harus diingat, lakukanlah amalan-amalan itu bagaikan ini Ramadhan kita yang terakhir...


Oleh yang demikian, sempena dengan Ramadhan Al-Kareem ini, BAKTI menghidangkan aktiviti-aktiviti yang dapat melipat gandakan lagi pahala kita supaya kita tidak mensia-siakan Ramadhan ini... Diharap ikhwanul semua dapat mengutip mutiara-mutiara ilmu yang akan dihidangkan oleh ustaz dan ustazah dan kemudian mengamalkannya sebagai ibadah dan peringatan diri & keluarga seharian.


Sokongan daripada anda dalam menjayakan program Ramadhan ini adalah sangat dihargai.


Akhir kalam, selamat menyambut Ramadhan Kareem... Semoga ibadah puasa dan amalan-amalan kita semua diterima oleh Allah. Ameen.


AMAT SIA-SIA & RUGI MEREKA YANG MELALUI RAMADHAN NAMUN TIDAK MENDAPAT KEAMPUNAN! dan Anggaplah Ramadhan ini sebagai bulan saringan pelepasan ke Padang Masyar!


Template by:
Free Blog Templates