Meneladani Peristiwa Pertukaran Qiblat
"Dan peringatkanlah mereka tentang hari-hari Allah, sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi mereka yang amat bersabar lagi bersyukur"(Surah Ibrahim : 5)
Hari-hari Allah itu sememangnya perlu diperingatkan sesama kita Umat Islam kerana kita ini alpa. Tambahan pula dengan fitnah penggunakan kalendar Gregorian Miladi atau Masehi itu menjadikan umat Islam semakin jauh dan tercuai daripada mengingati ‘hari-hari Allah’.
Menjelangnya Rejab dan Shaaban, umat Islam selalunya lazim memperkatakan tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad SAW. Namun, terdapat suatu lagi peristiwa yang besar dan penting kepada kita semua di mana riwayat Sahih al-Bukhari secara tidak langsung mengisyaratkan bahawa ia berlaku sama ada pada pertengahan bulan Rejab atau pun Shaaban, kira-kira 16 atau 17 bulan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW; sejurus sebelum berlakunya Peperangan Badar al-Kubra pada tahun kedua Hijrah itu. Peristiwa yang dimaksudkan itu adalah perpindahan Qiblat daripada Baitul Maqdis ke Masjidil Haram di Makkah.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada al-Barraa’, beliau berkata:
“Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda bersolat di dalam keadaan mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Akan tetapi Baginda SAW amat suka seandainya Baginda berpeluang untuk bersolat mengadap ke arah Kaabah. Lalu Allah SWT menurunkan ayat “Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan wajahmu ke langit”[surah al-Baqarah ayat 144]. Maka berkata-katalah orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia dan mereka itu adalah Yahudi, “Apakah yang telah memalingkan orang-orang Islam itu daripada qiblat mereka sebelum ini?” Lalu Allah SWT menjawab dengan menyatakan “Bagi Allah itulah timur dan barat”.
“Orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia (iaitulah Yahudi) akan berkata (dengan ejekan): Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Bagi Allah itulah Timur dan Barat, Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus {142} Dan (sebagaimana Kami tunjukkan kamu jalan yang lurus dengan berqiblatkan Kaabah), begitu jugalah Kami jadikan kamu sebagai umat yang ‘bersifat sederhana dan pertengahan’ agar dengan itu kamu menjadi saksi ke atas manusia. Manakala Rasulullah SAW itu pula, dia menjadi saksi bagi kamu. Dan tidaklah Kami jadikan qiblat kamu sebelum ini melainkan Kami ketahui siapa yang mengikut perintah Rasul dan siapa pula yang memalingkan lehernya (ingkar). Sesungguhnya perintah itu adalah amat berat melainkan bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT. Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah itu amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya (kepada orang-orang yang beriman) {143}”
“Dan Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan kepalamu ke langit. Maka (pada hari ini) Kami tukarkan bagi kamu ke arah Qiblat yang kamu suka. Oleh yang demikian, hadapkanlah wajahmu ke Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada maka hendaklah kamu mengadap ke arahnya. Sedangkan mereka yang telah diberikan al-Kitab (Yahudi) itu benar-benar tahu bahawa hal ini adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan tidaklah Allah SWT alpa terhadap apa yang mereka lakukan. {144} Dan sekiranya kamu datangkan segala bukti kepada mereka yang telah diberikan al-Kitab kepadanya (Yahudi), tidaklah mereka itu mengikut Qiblat kamu. Dan kamu juga tidak akan sekali-kali mengikut Qiblat mereka. Bahkan mereka sesama mereka juga tidak mengikut Qiblat antara satu dengan yang lain. Dan sekiranya kamu mengikut hawa nafsu mereka selepas datangnya kepada kamu pengetahuan, maka sesungguhnya kamu adalah dari golongan yang zalim. {145} Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu senantiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui. {146}Kebenaran itu adalah datangnya dari Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali kamu tergolong dari kalangan orang yang zalim. {147}”
CINTA NABI KEPADA KAABAH, QIBLAT IBRAHIM
Ketika di Makkah, sebelum berlakunya peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW bersolat di bahagian selatan Kaabah supaya Baginda SAW mengadap Baitul Maqdis sebagai perintah Allah, dan dalam masa yang sama Baginda SAW mengadap Kaabah, Qiblat Nabi Ibrahim A.S yang dikasihinya. Apabila Baginda SAW dan umat Islam berhijrah ke Madinah, Allah memerintahkan supaya solat dilakukan secara mengadap ke Baitul Maqdis. Tujuannya adalah supaya dengan ibadah yang dilakukan seumpama ini, ia akan membolehkan Nabi SAW melembutkan hati orang-orang Yahudi di Madinah untuk menerima Islam. Ia juga sebagai isyarat bahawa Syariat yang dibawa oleh Baginda SAW adalah sama dengan risalah yang diseru oleh Nabi-nabi Bani Israel seperti Musa dan Isa Alayhima as-Salaam.
Akan tetapi sifat mulia yang ditunjukkan oleh Baginda dan umat Islam itu, tidak langsung menggerakkan hati orang-orang Yahudi untuk menerima Islam, bahkan mereka mengejek-ngejek Baginda SAW. Kata mereka “Muhammad itu menentang agama kita, tetapi dalam masa yang sama mengadap Qiblat kita pula. Kalaulah agama kita tidak ada, nescaya Muhammad itu tidak tahu ke arah Qiblat mana dia mahu bersolat!”
Kata-kata seumpama ini amat melukakan hati Nabi SAW. Sehingga diriwayatkan bahawa Nabi SAW menyebut, “aku amat suka jika Allah SWT menghindarkan aku daripada Qiblat Yahudi itu (Baitul Maqdis)”.]
ASBAB NUZUL AYAT 142 DAN 144 SURAH AL-BAQARAH
Ibnu Abbas RA dan at-Tabari berpendapat bahawa ayat 144 surah al-Baqarah adalah turun lebih awal daripada ayat 142. Pendapat ini disokong oleh riwayat al-Bukhari dari al-Barraa’ yang telah disebutkan di atas. Akan tetapi az-Zamakhsyari menyatakan bahawa ayat 142 tentang komen Yahudi itu telah turun lebih awal sebelum turunnya ayat perintah menukar Qiblat (Al-Baqarah ayat 144). Ia adalah sebagai mukjizat daripada Allah SWT bahawa Nabi SAW telah lebih awal diperkhabarkan tentang pertukaran Qiblat berkenaan sebelum ia berlaku. Ini adalah supaya hati Baginda SAW dan umat Islam menjadi tenang menghadapi ejekan dan cemuhan Yahudi tersebut.
Di dalam artikel ini, kita akan menghuraikan peristiwa pertukaran Qiblat tersebut dengan menggunakan pendapat Ibnu Abbas RA dan at-Tabari supaya kronologi peristiwa itu dapat difahami dengan mudah oleh pembaca.
Di dalam Sahih al-Bukhari dengan riwayat daripada al-Barraa’, beliau berkata:
“Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda bersolat di dalam keadaan mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Akan tetapi Baginda SAW amat suka seandainya Baginda berpeluang untuk bersolat mengadap ke arah Kaabah. Nabi SAW bersolat mengadap Kaabah buat kali pertamanya adalah pada solat Asar bersama sahabat-sahabat Baginda. Kemudian keluar salah seorang daripada mereka yang bersolat bersama Nabi SAW itu dan melalui suatu kaum yang pada masa itu sedang rukuk mengerjakan solat, lalu beliau berkata “Aku bersaksi dengan Allah bahawa aku telah bersolat bersama Nabi SAW mengadap Makkah”. Lalu jamaah tersebut berpusing ke arah Kaabah di Masjidil Haram. Dalam pada itu (kami teringat) kepada adanya ramai di kalangan sahabat kami yang telah mati terbunuh dan mereka itu bersolat mengadap Baitul Maqdis. Sesungguhnya kami tidak tahu apa nasib mereka. Lalu Allah SWT menurunkan firmanNya yang bermaksud: “Dan tidaklah Allah sekali-kali mensia-siakan iman kamu”.
KESIMPULAN RIWAYAT YANG ZAHIRNYA SEAKAN BERCANGGAH
Berdasarkan riwayat ini, solat yang pertama dikerjakan oleh Nabi SAW mengadap Kaabah di Makkah adalah solat Asar. Riwayat daripada Malik pula menyatakan bahawa solat itu adalah Solat Fajar dan ada juga yang menyebut Zohor. Muhammad bin Muhammad Abu Shahbah di dalam kitabnya As-Seerah an-Nabawiyyah fee Dhou’ al-Qur’aan wa as-Sunnah (ms.104, juzuk 2, terbitan Darul Qalam 1992 /1412) telah cuba menggabungkan riwayat-riwayat ini dan kesimpulannya adalah seperti berikut:
Pada masa itu Nabi SAW telah pergi menziarahi Ummu Bashar bin al-Barraa’ bin Ma’roor di kediaman Bani Salimah di luar Madinah. Selepas dijamu makan oleh tuan rumah, waktu Zohor menjelang, dan Nabi SAW bersama-sama mengerjakan solat Zohor. Ketika di rakaat kedua, Jibril Alayhi as-Salaam telah datang membawa perintah Allah supaya menukar Qiblat. Jibril memegang tangan Nabi SAW dan memusing Baginda SAW hampir-hampir tepat ke arah belakang iaitu ke arah Kaabah di Masjidil Haram di Makkah dan ia diikuti bersama oleh Jamaah yang bersolat bersama Baginda SAW. Peristiwa di mana berlakunya peristiwa itu, kini dikenali sebagai Masjid al-Qiblatain (Masjid Dua Qiblat) tidak jauh dari Masjid Nabawi di Madinah.
Selepas itu, Nabi SAW kembali ke Madinah dan di situ Baginda SAW bersama para sahabat menunaikan solat Asar secara lengkap sepenuhnya mengadap ke Kaabah. Kemudian salah seorang daripada mereka yang bersolat bersama Nabi SAW itu telah pergi melawat Bani Harithah dan dia telah memaklumkan kepada mereka tentang hal pertukaran Qiblat lalu mereka menukarnya. Selepas itu, lelaki yang sama atau mungkin juga lelaki yang lain telah pergi ke Quba’ dan menyampaikan perkhabaran itu kepada Jamaah di situ lalu mereka menunaikan solat Fajar mengadap Kaabah di Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah.
NABI TERDONGAK-DONGAK KE LANGIT
Kerana cemuhan Yahudi kepada perbuatan Nabi SAW bersolat mengadap Baitul Maqdis, Baginda SAW sering pada waktu malam keluar dan mendongak-dongak ke langit mengharapkan kalau-kalau turunnya wahyu dari Allah untuk menukar Qiblat. Firman Allah SWT:
“Dan Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan kepalamu ke langit. Maka (pada hari ini) Kami tukarkan bagi kamu ke arah Qiblat yang kamu suka. Oleh yang demikian, hadapkanlah wajahmu ke Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada maka hendaklah kamu mengadap ke arahnya. Sedangkan mereka yang telah diberikan al-Kitab (Yahudi) itu benar-benar tahu bahawa hal ini adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan tidaklah Allah SWT alpa terhadap apa yang mereka lakukan.”(Al-Baqarah : 144)
FirmanNya lagi:
“Dan sekiranya kamu datangkan segala bukti kepada mereka yang telah diberikan al-Kitab kepadanya (Yahudi), tidaklah mereka itu mengikut Qiblat kamu. Dan kamu juga tidak akan sekali-kali mengikut Qiblat mereka. Bahkan mereka sesama mereka juga tidak mengikut Qiblat antara satu dengan yang lain. Dan sekiranya kamu mengikut hawa nafsu mereka selepas datangnya kepada kamu pengetahuan, maka sesungguhnya kamu adalah dari golongan yang zalim. Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu senantiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui.”(Al-Baqarah : 145-146)
HURAIAN
Allah SWT menerangkan di dalam ayat ini bahawa orang-orang Yahudi itu enggan menerima seruan Nabi SAW bukanlah kerana kurangnya pengetahuan mereka. Sebaliknya, mereka itu hanya mengikut kepada hawa nafsu yang degil terhadap kebenaran. Ayat “Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu senantiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui” diturunkan bersempena dengan kisah yang berlaku di antara Umar al-Khattab RA dengan Abdullah bin Salaam iaitu seorang Yahudi yang memeluk Islam. Abdullah bin Salaam berkata, “Sesungguhnya aku lebih mengenali Rasulullah SAW berbanding dengan pengetahuanku terhadap anak aku sendiri.” Umar bertanya, “bagaimanakah itu boleh terjadi wahai Ibn Salaam?” Abdullah bin Salaam menjawab, “Ini adalah kerana aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah utusan Allah dengan kebenaran dan yakin. Sedangkan aku tidak bersaksi seperti itu terhadap anakku. Bahkan aku tidak tahu apa yang berlaku kepada orang-orang perempuan!” Lantas Umar menyebut, “Semoga Allah bersama denganmu wahai Ibn Salaam”.
Sememangnya Yahudi dan Nasrani itu tahu tentang perihal kebenaran Islam. Namun golongan ini sentiasa menyembunyikan pengetahuan mereka di atas kehendak hawa nafsu, benci dan iri hati kepada Islam. Tetapi mereka memang bertindak mengikut apa yang telah diterangkan oleh Islam. Pembesar-pembesar Kristian di Eropah hari ini amat bimbang dengan kebanjiran pendatang-pendatang asing ke Eropah dari kalangan umat Islam kerana mereka amat yakin dengan janji Nabi Muhammad SAW berkenaan dengan penawanan umat Islam ke atas Rome. Orang-orang Yahudi juga menyedari bahawa kehadiran mereka di bumi Palestin adalah untuk dihancur binasakan oleh umat Islam sebagaimana yang diperkhabarkan pada lisan Nabi Muhammad SAW. Namun, amat benarlah firman Allah SWT:
“Mereka ingkar dengannya sedangkan diri mereka mempercayainya dengan penuh yakin”(An-Naml : 14)
“Dan apabila datang kepada mereka perkara yang mereka ketahui, mereka (sengaja) mengkufurinya”(Al-Baqarah 89)
HUJAH BODOH YAHUDI MENENTANG NABI
“Orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia (iaitulah Yahudi) akan berkata (dengan ejekan): Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Bagi Allah itulah Timur dan Barat, Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus”(Al-Baqarah: 142)
Orang-orang Yahudi itu tidak langsung terbuka hati mereka untuk mempertimbangkan seruan dakwah Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, strategi Rabbani Rasulullah SAW dan umat Islam bersolat mengadap ke Baitul Maqdis telah dijawab dengan soalan yang mereka lontarkan dengan nada ejekan, “Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini?”.
Lantas Allah memerintahkan kepada Nabi SAW supaya membidas sangka dangkal Yahudi itu dengan menyatakan bahawa semua arah yang dihadap adalah milik Allah. Tidak ada keistimewaan bagi suatu arah berbanding suatu arah yang lain. Allah itulah yang memerintahkan hambaNya supaya beribadah mengadap ke mana-mana arah yang dikehendakiNya. Persoalan memilih suatu arah dan tidak suatu arah yang lain, adalah dengan sifat patuh dan taat kepada perintah Allah dan bukannya atas motif-motif cetek seperti yang dipercayai oleh Yahudi berkenaan.
WASATHIYYAH, SIFAT ISTIMEWA UMAT MUHAMMAD
“Dan (sebagaimana Kami tunjukkan kamu jalan yang lurus dengan berqiblatkan Kaabah), begitu jugalah Kami jadikan kamu sebagai umat yang ‘bersifat sederhana dan pertengahan’ agar dengan itu kamu menjadi saksi ke atas manusia. Manakala Rasulullah SAW itu pula, dia menjadi saksi bagi kamu. Dan tidaklah Kami jadikan qiblat kamu sebelum ini melainkan Kami ketahui siapa yang mengikut perintah Rasul dan siapa pula yang memalingkan lehernya (ingkar). Sesungguhnya perintah itu adalah amat berat melainkan bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT. Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah itu amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya (kepada orang-orang yang beriman).”(Al-Baqarah: 143)
Di dalam ayat ini Allah SWT menerangkan bahawa umat Muhammad SAW akan menjadi saksi bagi sekalian manusia di hari Qiamat nanti. Manakala Nabi Muhammad SAW pula akan secara khusus menjadi saksi bagi umatnya. Keterangan tentang hal ini terujuk kepada hadith Nabi SAW:
“Sesungguhnya umat-umat pada hari Qiamat mengingkari tentang perutusan para Nabi. Lantas Allah SWT memerintahkan kepada para Nabi supaya mendatangkan bukti (bahawa mereka telah menyampaikan risalah Allah SWT); dan Allah itu terlebih dahulu mengetahui tentang hakikat ini. Lalu para Nabi datang kepada umat Muhammad SAW untuk mendapatkan kesaksian. Umat-umat yang terdahulu bertanya: bagaimanakah kamu tahu tentang perihal kami (sehingga kamu boleh menjadi saksi bagi kami)? Lalu umat Muhammad SAW menjawab: kami mengetahui tentang perihal kamu semua melalui perkhabaran Allah di dalam kitabNya yang menyebut di atas lisan NabiNya yang benar. Lalu umat Muhammad SAW datang kepada Baginda SAW dan ditanya tentang perihal umatnya. Lalu Muhammad SAW menyucikan umatnya (dari anggapan keraguan) dan bersaksi di atas sifat adil mereka sebagai saksi. Dan demikian itulah Allah SWT menyebut (yang bermaksud): “Maka bagaimanakah tatkala Kami datangkan bagi setiap umat itu saksi (bagi mereka) dan Kami datangkan kamu pula sebagai saksi bagi mereka (umat Muhammad SAW)”[An-Nisaa’ : 41]
Kualiti yang melayakkan umat Muhammad SAW itu menjadi saksi di hadapan Allah untuk sekalian manusia adalah kualiti Wasathiyyah. Maksud Wasathiyyah di sini adalah keseimbangan yang ada pada Islam dan umatnya di antara dua sempadan keji. Lihat sahaja, Yahudi mencaci pada Rasul dengan menuduh mereke dengan tuduhan zina dan sebagainya, manakala Nasrani pula mengangkat martabat Rasul sehingga kepada ketuhanan lantas bertuhankan manusia. Akan tetapi Islam memuliakan seluruh Rasul dan dalam masa yang sama tidak mengangkat martabat mereka ke darjat melampau yang menceroboh hak Allah SWT.
Sistem sosialis menafikan kewujudan individu dengan anggapan bahawa individu itu hanyalah peralatan negara. Semua hasil perlu diserahkan kepada negara dan kemudian negara mengagihkannya sama rata kepada rakyat supaya secara teorinya, ia dapat membasmi kemiskinan dan jurang antara golongan kaya dan fakir. Manakala sistem kapitalis pula memberikan ketinggian kepada individu sebagai pemilik mutlak kepada sekalian hasil usaha individu berkenaan. Secara teori, ia akan menjadi motivasi yang menggalakkan persaingan dan tentunya persaingan akan meningkatkan mutu. Tetapi sistem sosialis menjadikan sekalian rakyat miskin, dan yang kaya hanyalah pemerintah yang berkuku besi. Manakala kapitalisma pula menjadikan golongan kaya bertambah kaya dan memonopoli segala hasil mahsul, sedangkan yang miskin terus ketinggalan dan tercengkam, lantas jurang antara keduanya terus melebar tanpa sekatan. Padahal Islam datang mengimbangkan antara keduanya. Individu berhak ke atas hasil usahanya, namun masih ada tanggungjawab sosial yang dinaiktarafkan sebagai rukun agama. 2.5% daripada pemilikan hendaklah dibayar sebagai zakat, supaya keseimbangan berlaku dan golongan miskin tidak terbiar hancur lebur oleh rempuhan monopoli pesaing gergasi.
Banyak lagi contoh lain tentang sifat Wasathiyyah di dalam Islam termasuklah perbahasan tentang aqidah Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah di antara Qadariyyah dan Jabariyyah di dalam masalah perbuatan hamba, dan sebagainya.
Sesungguhnya amat mulia dan tinggi sekali kualiti Islam sebagai ad-Deen yang Kamil dan Adil. Inilah yang menjadi keistimewaan umat ini sehingga layak menjadi saksi bagi sekalian umat manusia yang terdahulu.
PERTUKARAN QIBLAT ADALAH UJIAN ALLAH
“Dan tidaklah Kami jadikan qiblat kamu sebelum ini melainkan Kami ketahui siapa yang mengikut perintah Rasul dan siapa pula yang memalingkan lehernya (ingkar). Sesungguhnya perintah itu adalah amat berat melainkan bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.”(Al-Baqarah: 143)
Solat yang dikerjakan oleh Nabi SAW dan umat Islam dengan berqiblatkan Baitul Maqdis bukanlah suatu perkara yang mudah. Baginda SAW dan sahabat perlu meninggalkan Kaabah yang lebih dikasihi dan dicintai, di samping mengadap Baitul Maqdis yang menjadi qiblat musuh utama mereka iaitu orang-orang Yahudi. Tambahan pula mulut-mulut manusia bodoh itu sentiasa mempersendakan Rasulullah SAW dan umat Islam yang ‘miskin qiblat’ pada pengamatan dangkal mereka. Sesungguhnya semua ini adalah ujian Allah dan ia memang berat kecuali bagi mereka yang beroleh petunjuk dari Allah SWT.
IMAN GOLONGAN TERDAHULU TIDAK SIA-SIA
“Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah itu amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya (kepada orang-orang yang beriman).”(Al-Baqarah: 143)
Para sahabat tertanya-tanya, bagaimana pula dengan hal mereka yang dahulunya bersolat mengadap Baitul Maqdis dan kemudiannya telah meninggal dunia. Pertanyaan mereka itu adalah dengan rasa kebimbangan kalau-kalau iman mereka itu tersia-sia. Kerana itulah mereka menimbulkan persoalan ini dengan mengemukakan alasan bahawa bahkan mereka yang telah mati itu, mati kerana syahid terbunuh mempertahankan Islam. Alangkah ruginya jika iman mereka tersia-sia. Lantas Allah SWT menjawab, “Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu.”
Di dalam ayat ini juga Allah SWT menamakan solat itu sebagai Iman. Benar sekali kerana solat itu adalah ibu kepada segala ibadah dan di situlah letaknya benih, baja dan tunas kepercayaan kita kepada Allah SWT. Sesungguhnya solat dan Iman mereka tidak akan sekali-kali tersia-sia kerana mereka itu semasa hayatnya, bersolat mengadap Baitul Maqdis adalah kerana ketaatan mereka kepada Allah, sama seperti ketaatan kamu pada hari ini yang bersolat mengadap ke Kaabah, juga dengan perintah Allah SWT.
PENGAJARAN
Banyak sekali pengajaran yang boleh kita perolehi daripada peristiwa ini. Kita melihat bagaimana Nabi SAW dan para sahabat menunjukkan sikap bagaimana perintah Allah SWT itu dilaksanakan serta-merta tanpa bertangguh. Tidak pula mereka menghabiskan dahulu solat yang sedang dilakukan dan menunggu solat berikut untuk mengadap ke arah qiblat yang baru. Berbeza sekali dengan sikap kebanyakan umat Islam hari ini. Di dalam aspek individu, kita suka menangguhkan kewajipan. Dari aspek individu kita tangguhkan qadha’ puasa, kita lewatkan pembayaran hutang, dan tidak mengerjakan solat di awal waktu dan pelbagai lagi kelewatan yang berlaku tanpa uzur dan tanpa sebab selain kerana lemah dan cacatnya iman itu sendiri.
Manakala dari aspek yang lebih besar, bagaimana masyarakat kita amat gemar melewatkan pengagihan harta pusaka dan ‘perbicaraan kuasa’ ke atas tanah sehingga menjadi beban kepada anak-anak di masa hadapan serta kerap kali menjadi punca kepada keretakan hubungan keluarga apabila timbulnya krisis harta pusaka.
Begitu juga di dalam aspek kenegaraan, hukum hakam Islam dari segi ekonomi, politik, perundangan dan sebagainya, banyak sekali hukum Allah yang diK.I.Vkan (keep in view) dengan pelbagai alasan bahkan sesetengahnya tanpa alasan. Jika dilaksanakan peraturan Islam, bimbang nanti timbul masalah ini dan itu. Keterlibatan badan-badan Islam di dalam perniagaan yang tidak Islamik juga tidak dapat dihentikan serta-merta walaupun hukumnya telah diperjelaskan, kerana beralasan menanti harga saham stabil!. Jauh benar akhlaq kita hari ini dari sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.
Peristiwa ini juga menunjukkan kepada penerimaan pakai Hadith Aahaad, bilamana pemberitaan tentang pertukaran qiblat hanya disampaikan oleh seorang sahabat. Begitu juga, sikap dan akhlaq Yahudi yang mesti kita berikan perhatian. Banyak sekali usaha yang telah dibuat untuk mencenderungkan hati mereka kepada Islam sehinggakan Nabi SAW berkorban jiwa dan perasaan, bersolat mengadap qiblat mereka bersama ejekan dan sendaan yang tidak lekang dari telinga. Apakah ada faedahnya? Apa yang pasti, pendirian Yahudi itu adalah akhirnya sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT:
“Yahudi itu tidak akan sekali-kali redha dengan kamu, Nasrani itu juga tidak akan sekali-kali redha dengan kamu, sehinggalah kamu mengikut cara hidup dan kehendak mereka.” [al-Baqarah : 120]Semoga peristiwa ini menjadi teladan kepada kita semua dalam mengharungi kehidupan di akhir zaman yang penuh fitnah. Wallahu A’lam bis Sawaab.
Wassalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Ulasan
Catat Ulasan